08 September, 2010

Hukum Melintasi Orang yang Sedang Bersolat

Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalam hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan ‘penghadang' khusus (sutrah)di depannya ketika solat sunat seorang diri.

Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya akan berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]

Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu di hadapan orang solat :-

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ia menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]

Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.

Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.

Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي

صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]

Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.

Mengapa hanya mengeluh...


Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?" Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur" Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

Subhanallah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin...

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

02 September, 2010

HIKMAH PERLAKSANAAN HUDUD



“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian.Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan di kalangan orang-orang yang beriman” (An-Nur:2, al Quranul Karim)  

PANDANGAN ULAMA TAFSIR

Hukuman keatas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan yang masih bujang atau dara yang masih belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Hikmah memulakan hukuman keatas perempuan dalam kes zina dan memulakan hukuman keatas lelaki ketika kes mencuri adalah kerana kes zina selalunya terjadi disebabkan oleh golongan perempuan yang boleh mengaibkanya lebih daripada lelaki dan lebih memberi kesan keatasnya, manakala dalam kes mencuri pula selalunya berlaku keatas orang lelaki kerana mereka lebih berani dan lebih merbahaya daripada orang perempuan dalam melakukan perkara itu maka didahulukan orang lelaki daripada orang perempuan.

Pada zahir ayat ini menerangkan akan ketetapan hukuman keatas penzina –penzina iaitu 100 sebatan rotan tetapi telah ditetapkan di dalam Sunnah yang Qat’ie dan penzina yang belum berkahwin dan yang telah berkahwin. Adapun hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati mengikut Sunnah secara lisan dan perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud Bahawasanya Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam telah bersabda:

“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali berlakunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengaja dan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam”

Janganlah kamu berlembut dan berasa belas kasihan ketika hendak melakukan hukuman ke atas penzina kerana ini adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah juga tidak boleh merosakkan hudud Allah yang telah ditetapkan dan sebagaimana  sabda Nabi Muhammad  SAW daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah radhiAllahu anha:

“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bt Muhammad mencuri Sesungguhnya aku akan potong tanganya”

Maka dirikanlah hudud keatas orang-orang yang melakukan perbuatan zina dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang menyakitkan untuk memberikan pengajaran keatas mereka jika kamu beriman dengan Allah SWT dan hari Akhirat.

Dan dirikanlah hudud secara terang-terangan dihadapan sekumpulan daripada orang-orang Islam tambahan balasan bagi orang yang berzina. Sesungguhnya penzina-penzina itu apabila disebat di hadapan orang ramai akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah mereka daripada melakukan  perbuatan itu lagi. Telah berkata Qatadah:

"Allah S.W.T telah memerintahkan sekumpulan daripada orang-orang yang beriman untuk melakukan penyaksian ketika hukuman itu dijalankan adalah kerana untuk memberi peringatan, nasihat dan pengajaran"
.

Kes-Kes zina ini disabitkan dengan salah satu daripada  perkara berikut :

1- Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.
2- Mempunyai hubungan dengan perempuan yang tidak mempunyai suami yang boleh dikenali baginya.

PERBAHASAN
Apabila Allah menjadikan manusia Allah juga menjadikan bersama kejadian manusia itu undang-undang yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.Terdapat 17 jenis kesalahan yang dihukumkan dengan hukum hudud antaranya hukum bagi mereka yang melakukan penzinaan.Apabila sabit dua kesalahan terdapat dua jenis hukuman bagi dua kategori manusia yang melakukan kesalahan itu ;1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin 2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

Kenapakah terdapat perbezaan di dalam hukuman yang di jalankan bagi kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh jenis manusia yang berbeza?Sepintas lalu, Ulama’ menggariskan bahawa menghukum mereka yang belum berkahwin jika disabitkan kesalahan dengan 100 rotan adalah wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang melakukanya ataupun remaja yang berkeinginan mencubanya. Hukuman sebat ditentukan bagi penzina jenis adalah kerana mereka belum pernah merasa nikmat perkahwinan.Keinginan mereka adalah disebabkan dorongan nafsu yang kadangkala dapat mengatasi fikiran manusia sehingga menjerumuskanya melakukan kesalahan zina.
Rejam sampai mati pula adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina yang sudah berkahwin kerana penzina jenis ini sudah merasai nikmat perkahwinan dan tidak ada alasan yang boleh diterima sebagai kemaafan kerana dikhuatiri tabiat mereka itu akan merosakkan banyak manusia. Rejam sampai mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia jenis ini.

07 Januari, 2010


HAWA , andai engkau masih remaja, jadilah anak yg solehah bt kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH…
HAWA, andai engkau belum berkahwin, janganlah kau risau jodohmu, ingatlah janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam sekaligus disusuli dengan pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri…
HAWA, lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keayuannya, lelaki yang warak, tidak menilai wanita melalui kemanjaannya serta kemampuannya mengoncang iman lelaki, tetapi, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya, kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya, lelaki yang warak juga, tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.
Oleh itu HAWA, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH, yang memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik, serta keluarga yang membahagiakan dirimu.
HAWA, cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH, cintailah keluargamu kerana kau tidak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang mengoncangkan dunia, juga mengoncangkan iman lelaki.. TUNDUKKAN PANDANGANMU… WASSALAM WBT…

Keindahan nilai tudung seorang Muslimah...

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.
Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.
Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.
Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.
Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).
Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.
Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.
Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada’ dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.
Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.