27 Ogos, 2009

Renungan bersama...

12 Barisan Umat Muhammad di Padang Mahsyar

Semua boleh mula berbaris.....................

Barisan Pertama - Manusia tanpa tangan dan kaki
Mereka di dunia suka menyakiti hati jirannya.

Barisan kedua - Manusia berwajah khinzir hitam
Mereka di dunia melalaikan solat atau bersolat tetapi masih melakukan kemungkaran

Barisan ketiga - Manusia seperti baghal dengan perut seperti gunung penuh dengan ular dan kala jengking
Mereka di dunia enggan mengeluarkan zakat

Barisan keempat - Manusia yang mengalir darah dari mulutnya
Mereka di dunia berdusta dalam berjual beli

Barisan kelima - Seperti angin yang bertiup berbau sangat busuk
Mereka di dunia menyembunyikan kederhakaan atau maksiat kerana manusia dan mereka tidak takut kepada Allah

Barisan keenam - Manusia yang tenggorok dan tengkoknya putus
Mereka di dunia menjadi saksi palsu, mengadakan cerita yang tidak berlaku menyebabkan orang teraniaya

Barisan ketujuh - Manusia tanpa lidah dan keluar darah dari mulutnya
Mereka di dunia enggan memberi kesaksian atau menyembunyikan sesuatu kemungkaran menyebabkan hukuman tidak dapat dijalankan

Barisan kelapan - Manusia berjalan terbalik (kaki ke kepala) manusia yang melacurkan diri atau berzina tanpa bertaubat

Barisan kesembilan - Manusia berwajah hitam dan mata serta perutnya berapi
Mereka di dunia memakan harta anak yatim

Barisan kesepuluh - Manusia bertubuh penuh dengan lepera dan belak (sejenis penyakit kulit yang amat gatal)
Mereka di dunia menderhaka kepada ibu bapanya

Barisan kesebelas - Manusia yang buta matanya, giginya seperti tanduk, bibir melebar hingga ke dada, lidah terjulur sampai ke perut dan keluar kotoran yang sangat jijik.
Mereka di dunia meminum arak

Barisan keduabelas - Manusia yang berwajah berseri dan bercahaya
Merekalah golongan beriman dan beramal soleh.

Kita di barisan mana?????????? renung-renungkan lah...........

BIMBINGAN ROHANI

Satu renungan: Di saat kematian menjelang

Lidah kelu di saat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati... mengapa kebanyakan orang yang nazak (hampir ajal) tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan sakaratul maut.

Diriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang. Sebagai orang Islam, kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya.

Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri...mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri...!!! Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba... maka kita tidak dapat mengucapkan kalimah "Laailahaillallah...", yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut... Allah menjanjikan syurga untuknya.

Dari itu, marilah kita sama-sama menghormati azan,... dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut. "Ya Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkanlah lidah kami mengucapkan kalimah Laailahaillallah...semasa Sakaratul Maut menghampiri kami... amin... amin... amin... ya rabbal aa'lamin... "

DOA PILIHAN MINGGU INI: Doa Untuk Kedua-dua Orang Tua

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Ya Allah, ampunilah aku dan kedua-dua orang tuaku, dan sayangilah kedua-duanya sebagaimana kedua-duanya menyayangi aku pada waktu kecil."

24 Ogos, 2009


KETENTERAMAN JIWA



Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan segala apa jua suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Ketenangan dan ketenteraman jiwa boleh dikatakan menjadi idaman kepada semua orang. Jiwa yang tenteram, aman damai merupakan syarat utama kebahagiaan hidup seseorang, dalam pada itu, perlu diingat bahawa adalah jiwa itu pula sentiasa terdedah kepada gejala-gejala tekanan seperti takut, resah gelisah, bimbang dan lain perasaan yang kadangkala membawa seseorang itu hidup merana.

Ada orang yang bertungkus lumus mencari kekayaan, kerana pada sangkaan mereka dalam harta yang banyak itu akan diperolehi ketenangan, boleh didapatinya segala yang membahagiakan hidupnya. Tetapi ternyata harta kekayaan kadangkala tidak juga dapat membahagiakan seseorang dengan sepenuhnya, bahkan jika silap langkah dan salah perhitungan, harta kekayaan itu boleh menjerumuskan seseorang kepada berbagai-bagai penyakit jiwa, seperti mungkin menukarkan sifat seseorang yang asalnya lemah lembut dan pengasihan kepada bersifat ganas dan kasar, dari seorang yang pemurah kepada seorang yang tamak haloba. Dalam pada itu, tidaklah pula dinafikan ada orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat bila ia pandai menggunakan hartanya.

Oleh kerana ketenteraman jiwa menjadi idaman semua orang, maka semua orang pula akan berusaha mencarinya menurut cara dan kacamata masing-masing. Mungkin ada yang sampai memperbanyakkan maksiat dan melakukan kemungkaran kerana disangkanya perkara itu dapat mententeramkan jiwa, seperti memakan dadah, meminum minuman yang memabukkan, bermain judi dan yang seumpamanya yang bertujuan untuk mencari ketenteraman jiwa, tetapi cara begini, cara yang bertentangan dengan agama, bila dilakukan adalah tidak ubahnya seperti berubat dengan racun atau menambahkan penyakit yang telah sedia ada dengan penyakit yang lain pula.

Wahai kaum muslimin,

Islam sebagai agama ada mempunyai jalan keluar yang menawarkan sesuatu kaedah untuk ketenangan jiwa yakni mengurangkan perasaan yang tidak senang yang bersarang di hati atau di jiwa individu.

Ketenangan hati seseorang insan adalah aungerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kerana itu, pohonkanlah kepada Allah Subhanahu Wataala supaya dikurniakan hati yang tenang, jauh dari ketegangan.

Berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala, memuji Allah Subhanahu Wataala dan memohon keampunan dan keredhaannya adalah usaha meredakan ketegangan bagi seorang mukmin. Malahan hati yang tenang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wataala. Dengan berzikir, beristighfar dan menunaikan solat dengan khusyuk.

Jiwa yang tenteram sangatlah diperlukan dalam kehidupan kita, terutama dalam memutuskan atau mengendalikan sesuatu urusan yang besar. Maka bagi memelihara dan mengasuh jiwa supaya sampai ke peringkat Nafsul Muthmainnah (jiwa yang tenteram), maka agama Islam telah menyediakan banyak cara atau langkah sebagaimana kehendak mententeramkan jiwa dan menghindarkannya daripada gangguan-gangguan perasaan yang tidak menentu.

Di antara cara untuk mententeramkan jiwa menurut pandangan Islam ialah dengan melakukan apa jua ibadat, terutama pokok atau asas ibadat, seperti sembahyang, puasa, berzakat, melakukan ibadat Haji dan lainnya. Kerana ibadat yang disebutkan ini adalah di antara kemuncak seorang itu akan mengingati Allah Subhanahu Wataala.

Mengingat Allah Subhanahu Wataala dalam apa jua keadaan dan suasana adalah sangat disuruh oleh agama, kerana dengan mengingati Allah insya-Allah akan dapat mententeramkan jiwa dan seterusnya mendalamkan Iman terhadapan, sebagaimana tafsir firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Ra’d ayat 28: “Orang-orang yang beriman itu dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati itu menjadi tenteram.”

Selain daripada melakukan ibadat-ibadat yang disebutkan di atas, kita dapat mengingati Allah Subhanahu Wataala, dengan cara yang lebih mudah iaitu melalui pembacaan Al-Quran, sebab Al-Quran itu Qalam Allah kalimah-kalimah Allah yang mengandungi rahsia sebagai penawar dan rahmat, siapa yang membacanya pasti beroleh cahaya berkat yang menjadi ubat kepada hati, rohani dan jasad sekaligus.

Kerana itulah wahai kaum muslimin segeralah diambil peringatan oleh kita perkara ini, mudah-mudahan menjadikan kita orang-orang yang suka beribadat yang berdamping dengan Al-Quran dan sentiasa menghayatinya dengan belajar membaca dan menurut ajaran-ajarannya. Seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’ ayat 82: Tafsirnya: “ Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya. Dan sebaliknya Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua.”

Mudah-mudahan dengan keimanan, kesabaran, amal ibadat dan zikir kepada Allah Subhanahu Wataala kita akan mendapat ketenangan dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Dan semoga ianya akan menjadi suatu jalan ke arah ketenangan yang semakin hilang daripada kehidupan manusia ini.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Ra’d ayat 28; Tafsirnya: “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah! Dengan “ Zikrullah ” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”