27 Ogos, 2009

Renungan bersama...

12 Barisan Umat Muhammad di Padang Mahsyar

Semua boleh mula berbaris.....................

Barisan Pertama - Manusia tanpa tangan dan kaki
Mereka di dunia suka menyakiti hati jirannya.

Barisan kedua - Manusia berwajah khinzir hitam
Mereka di dunia melalaikan solat atau bersolat tetapi masih melakukan kemungkaran

Barisan ketiga - Manusia seperti baghal dengan perut seperti gunung penuh dengan ular dan kala jengking
Mereka di dunia enggan mengeluarkan zakat

Barisan keempat - Manusia yang mengalir darah dari mulutnya
Mereka di dunia berdusta dalam berjual beli

Barisan kelima - Seperti angin yang bertiup berbau sangat busuk
Mereka di dunia menyembunyikan kederhakaan atau maksiat kerana manusia dan mereka tidak takut kepada Allah

Barisan keenam - Manusia yang tenggorok dan tengkoknya putus
Mereka di dunia menjadi saksi palsu, mengadakan cerita yang tidak berlaku menyebabkan orang teraniaya

Barisan ketujuh - Manusia tanpa lidah dan keluar darah dari mulutnya
Mereka di dunia enggan memberi kesaksian atau menyembunyikan sesuatu kemungkaran menyebabkan hukuman tidak dapat dijalankan

Barisan kelapan - Manusia berjalan terbalik (kaki ke kepala) manusia yang melacurkan diri atau berzina tanpa bertaubat

Barisan kesembilan - Manusia berwajah hitam dan mata serta perutnya berapi
Mereka di dunia memakan harta anak yatim

Barisan kesepuluh - Manusia bertubuh penuh dengan lepera dan belak (sejenis penyakit kulit yang amat gatal)
Mereka di dunia menderhaka kepada ibu bapanya

Barisan kesebelas - Manusia yang buta matanya, giginya seperti tanduk, bibir melebar hingga ke dada, lidah terjulur sampai ke perut dan keluar kotoran yang sangat jijik.
Mereka di dunia meminum arak

Barisan keduabelas - Manusia yang berwajah berseri dan bercahaya
Merekalah golongan beriman dan beramal soleh.

Kita di barisan mana?????????? renung-renungkan lah...........

BIMBINGAN ROHANI

Satu renungan: Di saat kematian menjelang

Lidah kelu di saat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati... mengapa kebanyakan orang yang nazak (hampir ajal) tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan sakaratul maut.

Diriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang. Sebagai orang Islam, kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya.

Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri...mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri...!!! Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba... maka kita tidak dapat mengucapkan kalimah "Laailahaillallah...", yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut... Allah menjanjikan syurga untuknya.

Dari itu, marilah kita sama-sama menghormati azan,... dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut. "Ya Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkanlah lidah kami mengucapkan kalimah Laailahaillallah...semasa Sakaratul Maut menghampiri kami... amin... amin... amin... ya rabbal aa'lamin... "

DOA PILIHAN MINGGU INI: Doa Untuk Kedua-dua Orang Tua

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Ya Allah, ampunilah aku dan kedua-dua orang tuaku, dan sayangilah kedua-duanya sebagaimana kedua-duanya menyayangi aku pada waktu kecil."

24 Ogos, 2009


KETENTERAMAN JIWA



Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan segala apa jua suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Ketenangan dan ketenteraman jiwa boleh dikatakan menjadi idaman kepada semua orang. Jiwa yang tenteram, aman damai merupakan syarat utama kebahagiaan hidup seseorang, dalam pada itu, perlu diingat bahawa adalah jiwa itu pula sentiasa terdedah kepada gejala-gejala tekanan seperti takut, resah gelisah, bimbang dan lain perasaan yang kadangkala membawa seseorang itu hidup merana.

Ada orang yang bertungkus lumus mencari kekayaan, kerana pada sangkaan mereka dalam harta yang banyak itu akan diperolehi ketenangan, boleh didapatinya segala yang membahagiakan hidupnya. Tetapi ternyata harta kekayaan kadangkala tidak juga dapat membahagiakan seseorang dengan sepenuhnya, bahkan jika silap langkah dan salah perhitungan, harta kekayaan itu boleh menjerumuskan seseorang kepada berbagai-bagai penyakit jiwa, seperti mungkin menukarkan sifat seseorang yang asalnya lemah lembut dan pengasihan kepada bersifat ganas dan kasar, dari seorang yang pemurah kepada seorang yang tamak haloba. Dalam pada itu, tidaklah pula dinafikan ada orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat bila ia pandai menggunakan hartanya.

Oleh kerana ketenteraman jiwa menjadi idaman semua orang, maka semua orang pula akan berusaha mencarinya menurut cara dan kacamata masing-masing. Mungkin ada yang sampai memperbanyakkan maksiat dan melakukan kemungkaran kerana disangkanya perkara itu dapat mententeramkan jiwa, seperti memakan dadah, meminum minuman yang memabukkan, bermain judi dan yang seumpamanya yang bertujuan untuk mencari ketenteraman jiwa, tetapi cara begini, cara yang bertentangan dengan agama, bila dilakukan adalah tidak ubahnya seperti berubat dengan racun atau menambahkan penyakit yang telah sedia ada dengan penyakit yang lain pula.

Wahai kaum muslimin,

Islam sebagai agama ada mempunyai jalan keluar yang menawarkan sesuatu kaedah untuk ketenangan jiwa yakni mengurangkan perasaan yang tidak senang yang bersarang di hati atau di jiwa individu.

Ketenangan hati seseorang insan adalah aungerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kerana itu, pohonkanlah kepada Allah Subhanahu Wataala supaya dikurniakan hati yang tenang, jauh dari ketegangan.

Berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala, memuji Allah Subhanahu Wataala dan memohon keampunan dan keredhaannya adalah usaha meredakan ketegangan bagi seorang mukmin. Malahan hati yang tenang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wataala. Dengan berzikir, beristighfar dan menunaikan solat dengan khusyuk.

Jiwa yang tenteram sangatlah diperlukan dalam kehidupan kita, terutama dalam memutuskan atau mengendalikan sesuatu urusan yang besar. Maka bagi memelihara dan mengasuh jiwa supaya sampai ke peringkat Nafsul Muthmainnah (jiwa yang tenteram), maka agama Islam telah menyediakan banyak cara atau langkah sebagaimana kehendak mententeramkan jiwa dan menghindarkannya daripada gangguan-gangguan perasaan yang tidak menentu.

Di antara cara untuk mententeramkan jiwa menurut pandangan Islam ialah dengan melakukan apa jua ibadat, terutama pokok atau asas ibadat, seperti sembahyang, puasa, berzakat, melakukan ibadat Haji dan lainnya. Kerana ibadat yang disebutkan ini adalah di antara kemuncak seorang itu akan mengingati Allah Subhanahu Wataala.

Mengingat Allah Subhanahu Wataala dalam apa jua keadaan dan suasana adalah sangat disuruh oleh agama, kerana dengan mengingati Allah insya-Allah akan dapat mententeramkan jiwa dan seterusnya mendalamkan Iman terhadapan, sebagaimana tafsir firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Ra’d ayat 28: “Orang-orang yang beriman itu dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati itu menjadi tenteram.”

Selain daripada melakukan ibadat-ibadat yang disebutkan di atas, kita dapat mengingati Allah Subhanahu Wataala, dengan cara yang lebih mudah iaitu melalui pembacaan Al-Quran, sebab Al-Quran itu Qalam Allah kalimah-kalimah Allah yang mengandungi rahsia sebagai penawar dan rahmat, siapa yang membacanya pasti beroleh cahaya berkat yang menjadi ubat kepada hati, rohani dan jasad sekaligus.

Kerana itulah wahai kaum muslimin segeralah diambil peringatan oleh kita perkara ini, mudah-mudahan menjadikan kita orang-orang yang suka beribadat yang berdamping dengan Al-Quran dan sentiasa menghayatinya dengan belajar membaca dan menurut ajaran-ajarannya. Seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’ ayat 82: Tafsirnya: “ Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya. Dan sebaliknya Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua.”

Mudah-mudahan dengan keimanan, kesabaran, amal ibadat dan zikir kepada Allah Subhanahu Wataala kita akan mendapat ketenangan dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Dan semoga ianya akan menjadi suatu jalan ke arah ketenangan yang semakin hilang daripada kehidupan manusia ini.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar-Ra’d ayat 28; Tafsirnya: “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah! Dengan “ Zikrullah ” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

19 September, 2008

RENUNGKAN...





KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH DI LEMBAH URANAH,GUNUNG 'ARAFAH


"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.


Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.


Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.


Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat Lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan.


Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.


Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.


Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "

21 Mac, 2008

5 Perkara Elok Disebut...


5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.