13 Januari, 2012

Adakah kita golongan sedikit?

Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba 54:13)

Ketika Saidina Umar Al Khattab sedang tawaf, beliau terdengar seorang arab Badawi berdoa "Ya Allah masukkan aku dalam golongan yang sedikit". Beliau sangat hairan, selalunya orang mahukan yang banyak. Selepas tawaf lalu beliau bertanya kepada Arab Badawi tadi kenapa dia berdoa sedemikian. Lalu menjawab Arab Badawi tadi, "Bukankah Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran bahawa hanya sedikit di kalangan hambaNya yang bersyukur?". Tersentuh jiwa Saidina Umar apabila mendengar penjelasan tersebut. Lantas beliau mengatakan kepada dirinya sendiri, "Wahai Umar, hari ini orang ramai lebih 'Alim daripada kamu".

Kalau ditanya, pasti semua kita mahukan yang banyak, besar, dan sebagainya. Kenapa hati dan naluri kita mahukan sedemikian rupa?. Tetapi ayat di atas benar-benar menyentuh hati dan jiwa, kerana dengan jelas menyatakan betapa hebatnya menjadi golongan yang sedikit.
 
Banyak gambaran peristiwa seperti ayat di atas. Nabi Noh dengan pengikutnya yang sedikit, Nabi Isa dengan pengikut yang sedikit, Talut mengalahkan tentera Jalut, Peristiwa Perang Badar Al Kubra dimana jumlah tentera Islam ratusan mengalahkan tentera kuffar ribuan orang, Salahudin Al Ayubi dengan bala tentera yang beriman dan bertaqwa, Muhammad Al Fateh disokong oleh tentera-tentera yang pasrah hidupnya kepada Allah Taala.
 
Allah menyukai golongan ini. Dan golongan inilah akan mendapat pertolongan dan rahmat dari Allah. Sedikit membawa kepada kualiti. Kuantiti bukanlah semata-mata menjadi kayu pengukur kepada kejayaan. Malah kuantiti kalau tidak bernilai dan berkualiti, maka akan merosakkan keseluruhannya. Ibarat nila setitik rosak susu sebelangga.

Kerana golongan ini sentiasa:
  1. Bersyukur
  2. Mendapat kemenangan
  3. Mendapat bantuan
  4. Pasrah kepada Allah
  5. Bersabar
  6. Taat dan patuh
  7. Berjuang pada jalan Allah
  8. Mengharap restu
  9. Taufik dan hidayah
  10. Sentiasa takut kepada Allah
  11. Berkualiti dan sebagainya...

Oleh itu, bagaimanakah pula pilihan kita?

Hati dan jiwa yang bersih
 
Kitalah yang perlu menentukan hala-tuju hidup kita. Bukannya rakan-rakan, keluarga mahu pun orang lain. Kita mesti mempunyai kekuatan hati dan jiwa yang berpegang kepada keputusan yang waras dan mutlak. Keputusan itu mestilah yang bertepatan dengan syariat Allah Taala.
 
Hati yang bersih sahaja yang mampu menerima hidayah Allah. Hati yang kotor akan terus berada dalam kesesatan yang gelap pekat tanpa suluhan cahaya kebenaran.

Tarbiyyah jiwa
 
Semua sifat-sifat berlebihan tersebut mempunyai nilaian dan kiraan dari pandangan fizikal sahaja. Hidup dengan sifat rendah diri dan qanaah (berpada) serta sifat mazmumah yang lain, merupakan tarbiyyah jiwa yang paling baik. Itu adalah didikan langsung dari Allah Taala dan telah dicontohi oleh para Rasul. Didikan inilah yang mampu membentuk hati, jiwa dan peribadi kita.
 
Hasilnya, hidup kita akan sentiasa berdamping dengan Allah Taala. Niat dan gerak kerja kita diserahkan secara total (sepenuhnya) kepada Allah.
 
Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit... Wa khalilan min 'ibadiyas syakur... dan sedikit sahaja hamba-hambaku yang bersyukur.... Ameen

Allahu 'alam

Sekian, Wassalam