09 September, 2009

Al-Quran Kitab Suci

Al-Quran yang Allah s.w.t telah turunkan sekaligus pada malam lailatul Qadr ke langit dunia baitul 'izah kemudian telahpun disampaikan kepada Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur selama lebih kurang dua puluh tiga tahun itu bukan sebarang kitab, bukan kitab karangan makhluk / manusia, tetapi al Quran adalah Kitab Allah (kalamullah) yang tidak boleh sama sekali dipandang ringan (tidak boleh diabaikan,) bahkan wajib berIman kepada Kitab Allah kerana berIman kepada Kitab Allah itu adalah satu daripada Rukun Iman, sesiapa yang tidak yakin kepada Kitab Allah itu maka dikira kufur terhadap Allah s.w.t. Akibatnya pada Hari Qiamat nanti ia tergolong di dalam golongan orang yang rugi. Firman Allah s.w.t dalam ayat 121 Surah al Baqarah:


Maksudnya: “Orang-orang yang telah Kami (Allah) datangkan kitab kepada mereka, mereka itu membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka adalah orang-orang yang benar-benar berIman dengannya (dengan al Quran.) Sesiapa yang kufur (tidak mempercayainya) maka mereka itu adalah orang-orang yang rugi (di Hari Akhirat nanti)“

Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t bukan sia-sia, tetapi ada tujuan dan matlamatnya yang besar.

Sehubungan dengan ini Dr Solah Abdul Fatah al Khalidi dalam kitabnya Mafatih Lil Ta'amuli Ma'al al-Quran pernah menjelaskan bahawa sesungguhnya matlamat utama al-Quran hampir tidak terkeluar daripada empat perkara besar:

Pertama:
Membawa Hidayah / Pertunjuk kepada Jalan Allah s.w.t, pertunjuk yang benar (jalan yang betul) agar betul seluruh aspek kehidupan individu dan masyarakat (umat).

Mana ada lagi jalan yang betul selain daripada jalan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t (iaitu Islam). Firman Allah s.w.t dalam ayat 9 Surah al Isra’:


Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya al Quran itu membawa / memberi pertunjuk / memimpin ke jalan yang benar dan menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman serta melaksanakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh ganjaran pahala yang besar" (pertunjuk / hidayah sebenarnya datang daripada Allah - Allah datangkan melalui al Quran.)“

Oleh itu untuk mendapat pertunjuk / hidayah tersebut, maka kita mestilah beriman dan menerima al Quran sebagai panduan dan pengatur hidup kita. Hanya orang yang datang mendekati al Quran dengan hati yang bertaqwa sahaja yang akan mendapat petunjuk / bimbingan al Quran berdasarkan firman Allah dalam ayat 2 Surah al Baqarah:


Maksudnya: “Kitab al Quran itu tiada sebarang keraguan di dalamnya, memberi pertunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.“

Kedua:
Al-Quran bermatlamatkan untuk melahirkan / membentuk individu-individu yang bersahsiah Islam, berpindah daripada realiti jahiliyah yang buruk kepada Islam berpaksikan / berteraskan kepada iman / tauhid kepada Allah s.w.t.

Dan telahpun terbukti lahir jiwa-jiwa dan peribadi-peribadi mulia dalam generasi awal Islam / generasi sahabat Rasulullah s.a.w. Masing-masing telah menjadi ahli Quran (ahlu quran.) Hidup dengan al Quran dan di dalam ‘tarbiyah al Quran’.


Bermaksud: “Daripada Hasan al Basri Rahimahullah berkata bahawa sesungguhnya orang-orang sebelum kamu memandang al Quran sebagai Risalah daripada Allah s.w.t, mereka membacanya dengan penuh ‘tadabbur’ (perhatian) di waktu malam dan mereka melaksanakannya di waktu siang (yakni segera melaksanakannya.) “

Ketiga:
Al Quran juga bermatlamatkan melahirkan / membentuk masyarakat Islam Qurani (Jilnul Farid.)

Masyarakat yang terdiri daripada individu-individu yang terdidik dengan ajaran al Quran, membangun dengan prinsip dan arahan-arahan al Quran, berkembang di dalam suasana al Quran dan hidup di bawah naungan sinaran nur al Quran. Jika demikian barulah akan lahir masyarakat yang mulia serta mendapat Rahmat Allah s.w.t. Masyarakat seperti itu telahpun lahir dalam generasi awal Islam dibawah pimpinan dan bimbingan Rasulullah s.a.w sehingga telah mendapat pujian daripada Allah s.w.t di dalam al Quran ayat 110 Surah ali Imran :

Bagi masyarakat kini, sewajarnya memberi perhatian kepada ajaran al Quran yang sudah pasti benar sekiranya masyarakat kini ingin mendapat Rahmat dan Kurniaan-kurniaan Allah s.w.t. Perhatikanlah dan fahamilah ayat al Quran dalam Surah an Nisaa’ ayat 174 hingga 175:

Maksudnya: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada ‘rab’ kamu (Allah s.w.t,) dan Kami (yakni Allah s.w.t) telah turunkan kepada kamu cahaya yang terang (yakni al Quran.) Adapun orang yang beriman kepada Allah serta berpegang teguh dengannya (dengan Deen Allah,) nescaya Allah s.w.t akan memasukkan mereka ke dalam RahmatNya (Rahmat Allah) dan kurniaan serta menunjukkan mereka jalan yang lurus untuk sampai (atau kembali) kepadaNya (kepada Allah)“

Keempat:
Al Quran juga bermatlamatkan untuk melahirkan / membentuk kepimpinan ummat yang sentiasa merujuk dan mengikut panduan daripada wahyu Allah (al Quran,) mengikut arahan syara’.

Hal ini ternyata telah lahir kepimpinan dalam generasi awal Islam dahulu. Mereka sentiasa merujuk kepada wahyu Allah (al Quran,) merujuk kepada Rasulullah s.a.w atau dikenali sebagai Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka sangat faham akan firman Allah s.w.t di dalam Surah al Ahzab ayat 36:


Bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi orang lelaki dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan / menentukan sesuatu ketetapan (tidak wajar) mereka memilih (pilihan lain) dalam urusan mereka. Dan sesiapa yang derhaka terhadap Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata (jelas.)“

Demikianlah empat perkara besar yang menjadi matlamat al Quran tanzilkan (diturunkan) kepada Nabi Muhammad s.a.w dan diwajibkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w selaku Rasulullah (wajib) menyampaikan al Quran itu kepada umatnya pula. Firman Allah di dalam ayat 44 Surah an Nahl:


Maksudnya: “ dan Kami (Allah) telah turunkan ke atas engkau (Nabi Muhammad s.a.w) akan al Quran untuk engkau (Nabi Muhammad s.a.w) terangkan (al Quran) itu kepada ummat manusia apa-apa yang telah diturunkan kepada mereka, juga agar mereka berfikir (memahami tuntutan al Quran itu.) “

Oleh itu, disamping kita membaca al Quran maka perlulah kita berusaha untuk memahami tuntutan-tuntutan Allah s.w.t daripada ayat-ayat al Quran dari masa ke semasa, tidak hanya terbatas kepada memperelokkan bacaannya semata-mata.

Yakinlah bahawa kebenaran itu ditentukan oleh Allah s.w.t, janganlah sekali-kali kita ragu-ragu seperti yang ditegaskan Allah s.w.t di dalam ayat 147 Surah al Baqarah:


Maksudnya: “Kebenaran itu datang dari Allah (didatangkan oleh Allah), maka janganlah sekali-kali anda termasuk di dalam golongan orang-orang yang ragu.“

Al-Quran sudah pasti benar, kerana al Quran diturunkan oleh Allah s.w.t (bukan rekaan manusia.) Al-Quran menjadi sumber utama hukum Islam, diikuti dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu maka deenul Islam adalah benar. Apabila deenul Islam benar dengan ketetapan daripada Allah s.w.t, maka sudah pastilah ajaran lain daripada Islam adalah batil (tidak benar). Apabila Islam itu benar (betul) maka lawan kepada Islam didul islam adalah batil (tidak benar). Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 32:


Maksudnya: “ apa lagi yang ada selepas kebenaran? Hanya yang ada selepas kebenaran ialah kesesatan. Bagaimana kamu dapat dipalingkan daripada kebenaran?“

Oleh itu orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah yakin dengan penuh keImanan bahawa al Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke langit dunia baitul 'izah pada malam laillatul qadar itu dan telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun itu adalah Kitab Allah yang wajib dipercayai, dibaca dan difahami dan diterimapakai hukum-hukum yang terdapat di dalamnya (al Quran). Fahamilah perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w di dalam ayat 43 hingga 44 Surah az Zukhruf :


Maksudnya: “Hendaklah engkau (Nabi Muhammad s.a.w) berpegang teguh dengan apa (yakni al Quran) yang telah diwahyukan kepada engkau (kepada Nabi Muhammad s.a.w). Sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad s.a.w) berada di atas jalan yang betul (benar) dan sesungguhnya al Quran itu mengangkat sebutan bagi engkau (Nabi Muhammad dimuliakan) dan kaum engkau (dapat kemuliaan dengan al Quran) dan mereka (umat yang beriman) itu akan disoal (dipertanggungjawabkan)“

Ayat wasaufa tus aluna diperjelaskan di dalam tafsir Fil Zilalil Quran bahawa al Quran (yang telah diturunkan oleh Allah dan telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya( adalah suatu tanggungjawab yang besar ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w. Umat ini akan ditanya (disoal / dipertanggungjawabkan) tentang amanah ini iaitu al Quran yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk Deenul Islam bagi memimpin umat manusia ke jalan yang betul. Sekiranya umat Islam mengabaikan amanah ini, maka mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t.

Oleh itu sempena dengan kita menyambut ‘Peristiwa Nuzul al-Quran‘ dalam Bulan Ramadhan al-Mubarak ini, kita mengajak umat Islam seluruhnya, marilah kita menyedari bahawa kitab suci al Quran ini adalah ‘amanah besar‘ yang menjadi tanggungjawab orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Wajib diusahakan agar hukum-hukum dan tuntutan-tuntutan di dalam al Quran itu berjalan dan diaplikasikan dalam kehidupan umat ini. Sebarang penolakan, keengganan, keangkuhan dan kesombongan terhadap al Quran dan sekaligus terhadap Sunnah Rasulullah s.a.w hanya mengundang kepada mala petaka besar iaitu balasan daripada Allah s.w.t.

TANDA-TANDA KIAMAT...

Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?”
Lalu kami menjawab, “Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat.”
Sabda Rasulullah S.A.W. “Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-
• Asap
• Dajjal
• Binatang melata di bumi
• Terbitnya matahari sebelah barat
• Turunnya Nabi Isa A.S
• Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
• Gerhana di timur
• Gerhana di barat
• Gerhana di jazirah Arab
• Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.
Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan ‘Ini adalah orang kafir’.
Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.
Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S.
Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu ‘Ini adalah orang yang beriman’. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah ‘Ini adalah orang kafir’.
Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.
Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, ” Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq”
Berkata Ali bin Abi Talib, Akan datag di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur’an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat.”
Sabda Rasulullah S.A.W, “Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, oarng dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat.”

Maka ingatlah umat Islam sekalian. Apakah tanggungjawab sebenar kita sebagai khalifah di muka bumi ini.???.. Wallah hu a’lam.Selamat beramal.